Sunday, July 22, 2018

Makanan-makanan tradisional Negeri Sabah

Sabah merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia, yang terletak di utara pulau Borneo


Sabah juga sering dirujuk sebagai "Negeri di Bawah Bayu" kerana kedudukan negeri tersebut yang sangat strategik, iaitu di bawah laluan angin monsun.

Di sini, kami ingin mengutamakan kekayaan warisan tradisi yang Sabah miliki, seperti makanan-makanan tradisionalnya. Negeri ini telah dirahmati dengan penduduk berbilang kaum. Secara tidak langsung, mereka mampu menyediakan pilihan makanan yang bervariasi kepada pengunjungnya. Tidak hairanlah Negeri Sabah telah menjadi antara pusat tumpuan pelancongan yang setanding dengan negeri-negeri yang lain. 

Kaum Kadazan dan Dusun merupakan bumiputera asli yang terbesar di Sabah. Terdapat sekurang-kurangnya 27 suku kaum di dalamnya. Sebagai contoh, Dusun Tindal, Dusun Lotud, Orang Sungai, Rungus dan sebagainya.

Mereka menggunakan pelbagai bahasa dan dialek, namun mempunyai kebudayaan dan adat resam tradisional yang serupa. Bezanya etnik Kadazan tinggal di kawasan lembah dan etnik Dusun tinggal di kawasan pergunungan di pendalaman Sabah.

Selain itu, juga terdapat suku kaum lain seperti Murut, Bajau, Iranun, Bisaya dan banyak lagi.

Antara makanan-makanan tradisional yang terdapat di Sabah ialah:

Hinava

•Makanan tradisional masyarakat Sabah, terutamanya masyarakat dari suku kaum KadazanDusun.
•Bahan utama Hinava ialah isi ikan, seperti isi ikan yu atau tenggiri. Tetapi sotong dan udang juga boleh digunakan.
•Bahan-bahan: isi ikan segar, biji buah bambangan, lada merah, halia, bawang merah, limau nipis/limau kasturi dan garam.
•Biasanya dihidangkan semasa majlis perkahwinan atau ketika Tadau Kaamatan.
•Cara penyediaan: kesemua bahan-bahan dicampurkan dan digaul-gaulakan, tanpa memasak isi ikan tersebut kerana ia akan masak melalui perahan limau tersebut.

Bosou

•Makanan tradisional dari suku kaum KadazanDusun.
•Bahan utama Bosou, ialah isi ikan mentah atau daging yang dijeruk selama lebih kurang 5-7 hari sebelum dihidangkan.
•Bahan-bahan: ikan/daging mentah, nasi putih, garam, buah.
•Cara penyediaan: ikan mentah akan dipotong atau dihiris kecil, lalu digaulkan bersama-sama nasi putih, garam dan buah-buahan seperti buah nangka, nenas muda atau tuhau bagi menambahkan lagi perisanya.
•Selepas tempoh seminggu, Bosou boleh dihidangkan terus atau dimasak terlebih dahulu untuk menghilangkan bau dan menambah perisa dengan menambahkan bahan seperti bawang dan lada.
•Boleh juga dipanggil sebagai bosou sada (jeruk ikan).

Linopot

•Makan tradisi daripada suku kaum Dusun Liwan dari Ranau.
•Bermaksud nasi yang dibungkus dengan daun dalam Bahasa Malaysia.
•Daun yang biasa digunakan adalah "punti" (pisang) dan "timadung" (tarap). 
•Selalu dihidangkan semasa perayaan kaamatan atau majlis perkahwinan.
•Linopot juga lebih enak apabila dicampur  dengan ubi manis, ubi keledek dan ubi kayu.

Pinarasakan/Pinasakan

•Juga dikenali sebagai "Manuk Pinarasakan" (ayam ampap), jika menggunakan ayam, ataupun "Sada Pinarasakan" (ikan ampap) jika menggunakan ikan.
•Cara penyediaan: ikan atau ayam dibersihkan sebelum dicampur dengan sedikit serbuk kunyit, halia yang telah ditumbuk, sedikit biji asam jawa atau buah asam (takob-takob), garam, serbuk perasa dan air. Lalu dipanaskan sehingga mendidih sehingga air hampir kering.
•Takob-takob adalah kulit kering buah-buahan seperti manggis yang berfungsi sebagai agen pemasaman.

Bambangan
•Jeruk bambangan merupakan makanan kegemaran suku kaum KadazanDusun.
•Enak dimakan bersama nasi putih termasuk mee dengan ikan/ayam/daging bakar,panggang dan goreng, kerana mampu memberikan rasa masam dan manis untuk menyeimbangkan rasanya.
•Buah bambangan merupakan bahan utama selain garam.
•Cara penyediaan: isi buah bambangan dibuka dan dipotong nipis dan kecil, kerana ia mempunyai kandungan serat yang banyak dan kasar. Selepas itu, biji buah bambangan dibelah dua untuk mendapatkan isinya, yang akan diparut ke atas potongan isi buah bambangan tadi. Gaulkan campuran tadi sambil memasukkan sedikit garam, sebelum memasukkannya ke dalam bekas yang berpenutup ketat dan menyimpannya sekurang-kurangnya selama seminggu.
Ambil perhatian bahawa garam yang sedikit menyebabkan jeruk anda tidak menjadi malah akan rosak dengan kehadiran kulapuk putih manakala terlebih garam pula akan menyebabkan jeruk bambangan anda terlalu masin.
 
Butod (Ulat sagu)
●Ulat rumbia atau dikenali sebagai Butod di Sabah ialah sejenis ulat yang makan dan tinggal di dalam pokok rumbia
●Makanan tradisonal suku kaum KadazanDusun.
●Boleh dimasak goreng sebelum dimakan bersama sayur atau dimakan begitu sahaja.
●Merupakan makanan tradisional penduduk yang tinggal di Ranau, Tamparuli, Kundasang, Tambunan dan banyak lagi.
●Ulat rumbia biasanya memakan batang rumbia yang reput. Bagi penggemar makanan eksotik dan kaum Kadazan-Dusun di Sabah, ulat rumbia adalah makanan yang istimewa kerana mempunyai khasiat protien yang tinggi.

Amplang
●Makanan ringan yang terkenal terutamanya di daerah Tawau dan Sandakan.
●Merupakan makanan tradisi bagi suku kaum Bugis di Sabah.
●Merupakan keropok yang diperbuat daripada ikan.
●Bahan-bahan: isi ikan tenggiri, tepung kanji, garam, gula dan telur ayam.
●Cara penyediaan: isi ikan tenggiri diadun bersama tepung kanji dan bahan-bahan lain. Lalu hasil adunan dipotong halus menjadi bentuk silinder. Kemudian dimasak hingga ranggup, sebelum sisa minyak disaring dan dibungkus dalam plastik kedap udara.

 Kuih makmur
●Bahan-bahan: tepung gandum, telur, minyak sapi, kacang tanah goreng (dikisar) dan gula ising atau gula kisar
●Cara pembuatan: Campurkan semua bahan-bahan termasuk kacang tanah yang telah digoreng dan dikisar. Lalu bentukkannya menjadi bulat sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar. Selepas masak, sejukkannya sekejap kemudian salutkan dengan campuran gula ising atau susu, mengikut kemahuan.
●Makan tradisional rakyat sabah yang populer terutamanya semasa Hari Raya, kerana setiap rumah akan mempunyai hidangan ini.

Kuih cincin
●Bahan utama merupakan tepung beras dan gula merah (gula Melaka).
●Bahan-bahan: teung beras, gula merah (gula melaka), minyak masak, gula nipah dan gula apong.
●Adunan ini akan dibentuk seperti bunga cincin sebelum dicelup dengan adunan tepung beras dan digoreng. Ia kemudiannya akan dicelup dalam adunan tepung beras sekali lagi sebelum digoreng kali kedua bagi menjadikannya rangup. 
●Kuih cincin merupakan kuih tradisional masyarakat Melayu Brunei di Sabah. Kuih cincin ini merupakan makanan istimewa bagi kaum di Sabah. 

Kuih pinjaram
●Kuih pinjaram atau juga dipanggil penyaram merupakan sejenis kuih tradisional di Sabah dan Brunei.
●Ia juga popular dikalangan orang Bajau.
●Bahan-bahan: tepung beras, tepung jagung, santan, dan minyak.
●Kadang kala daun pandan digunakan bagi menambah bau wangi.
●Cara penyediaan: kuih pinjaram akan digoreng dan dibalik-balikkan bagi memastikan kedua belahnya sama garing.
●Ia sedap dihidang panas dan mudah didapati dipasar tamu.

Kelupis
●Kelupis merupakan sejenis kuih tradisional di Brunei, Sabah dan Sarawak.
●Merupakan hidangan istimewa yang sedap dihidang panas dan mudah didapati di pasar tamu.
●Kuih ini sering dihidangkan sempena majlis perkahwinan dan juga majlis hari raya serta hari kebesaran yang lain.
●Kelupis merupakan beras pulut dan santan yang dibungkus dalam daun Nyirik. Ia kemudiannya direbus dalam santan.
●Kuih Kelupis ini kemudiannya boleh dihidang bersama kari ayam/daging, rendang, sambal dan banyak lagi.

Ambuyat

●Merupakan makanan tradisi bagi suku kaum Melayu-Brunei, Murut, Bajau, Dusun, Kadazan dan Bisaya di Sabah.
●Bahan utama merupakan sagu yang didapati daripada batang pokok Rumbia.
●Untuk makan hidangan ini hendaklah dengan menggunakan penyepit kayu (chopstik) atau dipanggil candas. Selain itu boleh juga menggunakan garpu buluh dengan cara menggolekkan ambuyat tersebut sekitar hujung candas atau garpu lalu mencelupnya ke dalam kuah atau sos.
●Untuk menghasilkan ambuyat, tepung sagu digaul bersama air panas yang mendidih hingga menjadikannya kental dan kembang kerana ambuyat ini pada kebiasaannya dimakan menggunakan kayu sepit.

No comments:

Post a Comment